Logo Rasmi

Logo Rasmi
Bizpositif.ws

Selasa, 14 September 2010

Kajian AI-Quran



1. Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Nama berfungsi untuk memudahkan perkenalan. Sebab itu kita sendiri ada nama supaya mudah dikenali. Sebagai surah pembukaan, agar terbuka hati kita ingin berubah ke arah membantu memperlihatkan keindahan agamaNya, kita harus mengenali Allah dahulu. Kenali Allah bukan sekadar akuan zahir mulut semata-mata, tetapi seluruh hidup kita kita rasakan kewujudanNya.
Contohnya jika pemimpin kita terpaksa menaikkan harga minyak petrol, janganlah cepat memarahi dan memaki mereka. Fahamilah sebab apa kenaikan harga minyak terpaksa dilakukan oleh mereka. Jika kita rasa tertekan akibat kenaikan harga barangan itu, kajilah bagaimana cara kita berbelanja. Adakah kita ini suka berbelanja untuk bermewah-mewah dan bermegah-megah? Bukankah Allah sudah menyediakan neraka Jahim kepada manusia seumpama ini? Azab neraka Jahim ini sudah boleh kita rasakan sejak di dunia bila suka hidup bermegah-megah iaitu rasa tidak senang duduk dengan kekayaan orang lain. Akibatnya kita lalai bahawa hidup kita sebenarnya untuk mengAgungkan Allah.
Semakin kita merasakan Allah menentukan sesuatu dalam hidup, semakin kita tunduk dan taat kepadaNya. Seperti kesanggupan Balqis untuk tunduk kepada Sulaiman setelah baginda memperingatkan Balqis dengan Keagungan Allah. Biarpun kerajaan Balqis itu memiliki pelbagai nikmat yang dianugerahkan Allah, tetapi berkat berfikir panjang, ratu itu akhirnya tunduk kepada utusan Allah. Itulah kejayaan manusia yang menggunakan akal.
Kenali Allah berdasar sifat-sifat dan asma-asmaNya. Dia Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Bergantunglah kepada tali Allah dengan berfikir kerana Dia Maha Pemurah akan mengurniakan ilham-ilham yang membolehkan kita mengharungi hidup dengan bahagia dan gembira. Sesungguhnya Dia tidak mempersia-siakan usaha manusia yang mendekatkan diri kepadaNya biarpun berjuta seteru membencinya.
2. Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam.
Setiap ilham-ilham yang kita capai itu akan membolehkan kita nampak logik sesuatu perkara (hikmah) di sebaliknya. Proses ini akan mempertingkatkan keupayaan akal kita untuk berfikir sejauh mungkin sehingga kita diperlihatkan apa yang tidak dilihat oleh orang yang malas berfikir. Seumpama matahari terbit menyinari semesta alam yang menampakkan apa yang tidak boleh dilihat ketika malam. Itulah hati yang telah disinari hidayahNya.
Bila semakin banyak kita mendapat ilham-ilham ini, puji-pujilah Allah. Kerana Dialah yang menyebabkan hati kita memahami sesuatu perkara setelah kita berkeinginan menggunakan akal. Sama juga seperti kita mengkaji Quran, Allah-lah yang menyebabkan kita memahami kelogikan di sebalik sesuatu ayat Quran sehingga kita memahami intipatinya. Semakin banyak ilham yang kita dapat, semakin seronok kita berfikir dan mengkaji Quran. Kerana Quran adalah ilmu yang haq. Ada logik-logik di sebalik sesuatu ayat untuk kita fikir-fikirkan. Bila datang sesuatu yang haq, pasti kebathilan akan dikalahkan, kerana yang bathil itu hanyalah bayangan kosong tanpa bukti. Dan janji Allah adalah benar. Si pendusta akan berterusan merasai debaran dan tekanan atas kedustaannya sendiri. Kerana semesta alam ini milik Allah, ke mana kita hendak lari jika kita mendustai agama Allah ini? Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa lagi Maha Mengetahui.
3. Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Tidak cukup lagikah masa untuk kita berubah dan membantu agamaNya? Kenangilah nikmat-nikmat Allah yang pernah diberikan kepada kita. Keupayaan mata kita membaca apa yang dituliskan ini juga adalah sebahagian nikmatNya. Cuba bayangkan bagaimana jika Allah cabut nikmat mata ini akibat kelalaian kita sendiri? Namun sejauh mana kita lalai, Allah tetap Maha Pemurah lagi Maha Penyayang dengan terus mengizinkan kita mengguna nikmat-nikmatNya. Tidakkah kita mahu menjadi insan yang bersyukur padaNya?
Kembalilah kepada Allah dengan kembali membangunkan akal fikiran seperti yang pernah generasi awal Islam lakukan sehingga umat Islam ketika itu amat suka mengkaji dan meneroka. Semangat suka mengkaji dan meneroka sesuatu yang baru itu telah dicontohi oleh masyarakat Barat sehingga kini mereka menjadi masyarakat berteknologi tinggi sedangkan kita umat Islam sekarang sekadar masyarakat yang suka dengki-mendengki lagi suka berpuak-puak. Atas rasa diri itu mulia, kita sanggup menyebarkan fitnah dan memburukkan peribadi orang lain yang kita nilai moralnya rendah daripada kita, sedangkan urusan darjat itu adalah milik Allah. Tugas kita adalah menjaga nyawa milik kita ini. Rosak jiwa kita akan rosaklah keseluruhan diri kita ini. Jika kita rasa diri kita benar, perlihatkan kebenaran yang kita pegang itu melalui akhlak-akhlak yang mulia, bukannya dengan cari kesalahan orang lain untuk menghukum mereka. Hukuman dosa orang lain, biarlah Allah sahaja yang menentukan. Sesungguhnya orang-orang yang berdosa itu tidak akan tenteram hidupnya dan Dia bersama-sama orang-orang yang sabar.
4. Yang menguasai di Hari Pembalasan.
Kerana Allah-lah yang menguasai hari untuk membalas setiap perbuatan manusia. Orang yang bersabar akan diberikan ketenangan hidup sejak di atas dunia lagi sedangkan si pendusta yang menolak kebenaran sudah pasti akan merasai tekanan jiwa. Akibat jiwa yang tertekan, kemarahan dihamburkan. Pemerintah menjadi mangsa kemarahannya. Sedangkan Allah menyuruh kita taat kepada orang-orang yang lebih berkuasa daripada kita, kerana kuasa yang orang itu miliki pun adalah atas amanah Allah untuk mereka. Kesabaran kita terhadap pemerintah, samalah seperti kita bersabar dengan ketentuan Allah.
Sebagai rakyat, tugas kita hanya berlumba-lumba memajukan diri dengan bersaing secara sihat. Diri akan maju jika pemikiran kita dipertingkatkan. Cuba lihat masyarakat yang maju pemikirannya dan bandingkan dengan kita yang malas mengkaji dan meneroka ini. Masihkah kita mahu terapung di awangan bahawa kita ini umat terbaik? Bukankah sekarang ini realitinya kita umat yang tersepit lagi terhimpit?
Orang-orang yang beriman dan membantu agama Allah akan dibalasi dengan ketenangan hidup. Tiada amarah kerana dia tahu dirinya hanyalah hamba. Kepada Allah sahaja golongan ini bersabar. Maksud bersabar ini bukannya hidup melepak bersenang lenang tanpa tujuan, tetapi kesabaran yang disertai keazaman memperbaiki diri dari masa ke semasa agar hari ini lebih baik daripada semalam.
5. Hanya Engkaulah yang kami sembah, dan hanya kepada Engkaulah kami meminta pertolongan.
Diri diperbaiki dengan memperbetulkan ketaatan kita kepada Allah. Maksud menyembah Allah bukan setakat bersembahyang, tetapi seluruh cara hidup tunduk kepada Allah. Terasa setiap perbuatannya mengikut petunjuk Allah. Setiap pilihan yang Allah beri, dia akan menilainya dengan waras dan logik. Bukannya mengikut persangkaan-persangkaan kosong tanpa bukti.
Dengan menjauhkan diri cari berita-berita kosong, secara tidak langsung boleh menyelamatkan diri dari budaya fitnah-memfitnah. Sekarang ini, ada manusia sanggup menyebarkan berita-berita keburukan orang lain untuk berebut kekuasaan politik. Ada manusia yang hidupnya hanya mahu menilai moral orang lain seolah-olah diri betul. Jika kita mahu perbetulkan masyarakat, mulakan dengan memperbaiki diri sendiri agar terpancar akhlak yang mula, bukannya dengan cara menyebarkan berita-berita yang kita sendiri tidak berani untuk membenarkan kesahihannya. Betapa ramai manusia yang telah tertipu akibat akubat mainan syaitan. Sesungguhnya syaitan itu tidak pernah berputus asa untuk melalaikan anak Adam sehingga terjadinya hari kehancuran.
Sebagai tanda kita tunduk berserah diri kepada Allah, sentiasalah bergantung harap kepadanya termasuk hendak memahami intipati Quran ini. Kerana Allah sahaja yang boleh menolong kita. Dahulukan pergantungan kita kepada Allah dalam setiap urusan kita dan Dia akan menunjukkan pada jalan untuk mencapai apa yang dicitakan. Sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji.
6. Tunjukilah kami jalan yang lurus,
Bila kita bergantung harap kepadaNya, Dia akan berikan ilham berupa petunjuk untuk segala kemudahan hidup kita. Usaha kita hanya mahu menggunakan akal agar kita mampu memahami petunjukNya. Petunjuk yang Allah berikan ini mudah dan sesuai mengikut keupayaan akal kita pada sesuatu masa. Kejayaan kita memahami petunjuk Allah akan meningkatkan daya fikir kita. Dan dengan memahami petunjuk-petunjuk Allah inilah akan menyebabkan jalan hidup kita lurus dan mudah. Apa yang kita perlukan kekuatan semangat dan kesabaran untuk merempuh benteng-benteng yang dibina oleh syaitan yang menyebabkan kita menjadi malas berfikir. Syaitan suka kita agar berfikiran cetek dan pendek.
Manusia yang berfikiran pendek akan hilang rasa keyakinan pada dirinya sendiri. Bila hilang keyakinan pada diri sendiri, dia akan mencari orang-orang lain yang dirasakan layak untuk dia bergantung harap. Umpamanya untuk mengkaji Quran, dia terpaksa bergantung harap kepada tok guru-tok guru. Segala apa yang tok guru dia kata, habis dituruti tanpa berfikir panjang. Hingga bila ada yang menyuruh ke arah perpecahan umat, mereka turuti atas rasa puak mereka adalah benar belaka. Jadilah mereka seperti binatang ternak yang dicucuk hidungnya.
Kita adalah manusia yang dianugerahi akal yang mampu berkembang. Kita bukannya haiwan yang telah dihadkan pemikiran sehingga binatang tidak mampu mengira seperti manusia. Tidakkah itu sebagai bukti-bukti yang nyata bahawa akal manusia ini mempunyai anugerah yang istimewa untuk melayakkan kita menjadi khalifah di muka bumi? Tetapi ada manusia kata, Quran tidak boleh difahami guna logik akal. Bagi mereka Quran hanya perlu dituruti membuta-tuli. Jika ayat-ayat Quran itu zahirnya tertulis gambaran putih, manusia itu hanya nampak putih sahaja. Dia tidak mahu berfikir ada maksud tersirat dalam sesuatu ayat Quran. Begitulah sikap manusia bila akalnya sendiri ditolak. Sebagai balasan, golongan sebegini diberikan kehidupan yang tertekan. Hanya tahu marah kepada orang lain walhal yang rasa tertekan itu hatinya sendiri.
7. (yaitu) Jalan orang-orang yang telah Engkau beri nikmat kepada mereka; bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat.
Adakah hidup dengan rasa benci sesama manusia, mengutuk dan mencaci itu sesuatu yang memberikan kenikmatan? Bukankah itu semuanya berpunca hati yang marah lagi berpenyakit? Hati yang dikuasai syaitan kerana merasa berbangga diri bahawa dirinya mulia. Atas rasa diri itu mulia, mata zahirnya hanya mahu mencari keburukan orang lain untuk disebar-sebarkan. Itulah hati yang tertutup matanya. Kerana suka hidup dalam perasaan amarah, maka Allah membalasi dengan kemurkaanNya. Hati mereka dalam keadaan resah, gelisah, panas hati dan suka kepada permusuhan. Tersesatlah mereka mengikut tipu daya syaitan sehingga agama menjadi alat pemecah-belah umat.
Oleh itu, untuk tidak menjadi golongan yang dimurkai lagi sesat, tetapi untuk menjadi seperti golongan yang telah diberikan nikmat, lakukan perubahan diri menuju ke arah kebaikan dan pendamaian, bukannya ke arah berpuak-puak. Selagi umat Islam ada rasa hendak berpuak-puak, selagi itulah kita menjadi umat yang lemah. Syaitan-syaitan yang tersembunyi dalam hati kita telah menipu agar kita merasa berbangga diri sehingga sanggup menolak membantu agamaNya. Akibatnya Islam nampak hina dan ketinggalan zaman kerana kita hanya tahu bergantung kepada pendapat imam-imam terdahulu untuk fahami Quran. Adakah ilmu Allah ini setakat apa yang pernah dikaji oleh golongan terdahulu? Kita sudah hilang keyakinan pada diri sendiri bahawa kita juga mampu mengkaji dan menghayati Quran mengikut keupayaan akal kita sendiri. Kita adalah insan bukannya binatang ternakan.
Kajilah Quran mengikut perspektif hidup kita berdasarkan logik-logik yang Allah perlihatkan untuk kita. Setiap manusia memiliki perspektif yang berbeza-beza, tetapi logik tetap sama. Sebab itu semua bangsa menerima logik bahawa 1+1=2. Manusia boleh disatukan jika kita boleh tunjukkan keindahan akhlak Quran dengan berfikiran secara logik yang nyata. Bukannya menuruti bayangan-bayangan kosong yang diada-adakan atas nama orang-orang terdahulu. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Shaharum Hj Ismail
Bizpositif.ws

Tiada ulasan:

Catat Ulasan